Friday, 29 November 2013

S. I. N. T. O. K





 S = Sesuatu yang amat merugikan jika mensia-siakan usaha di separuh jalan

 I = Ikhtiarlah untuk mencari penyelesaian bagi setiap permasalahan

N = Nawaitu yang betul sentiasa diredhaiNya dan dipermudahkan jalan

T = Teguhkan dan kukuhkan semangat untuk terus berjaya

O = Onak dan duri harus ditempuhi dengan penuh istiqamah

K = Kejayaan insyaAllah dalam genggaman





InsyaAllah.

Wednesday, 6 November 2013

Epilog Cinta Curang

Mendongak, 
melihat langit-langit konkrit               
yang seakan menindih
tubuh setengah mati,
jatuh dalam angkara
timbang kurang waras manusia.



Kulihat awan dari tingkap berjeriji
cuba lagi memujuk hati
ceria dan gembira
tersenyum dan ketawa
sebelum akhirnya melutut dan menangis
tersedak mengungkit kisah tragis



Melihat jari-jari sendiri
pernah gemuruh ditutup darah
hanya bayaran sebuah setia


Takdir bernyanyi lagi
dalam nada sumbang
                                                      mendungukan aku
                                                      yang hilang kiblat
                                                      menanti saat-saat
                                                     leher tergantung dibelitan
                                                     tali menjerut kuat
                                                 

Pernah dahulu dia berjanji                                                                     
memberi rembulan
untuk kusimpan di riba.

Pernah dahulu dia berjanji
memberi matahari
untuk membuat hidupku bercahaya

Dan aku pernah terlena
dengan syair berlagu yang dia nyanyikan
membuai-buai jiwaku
sebelum dicampak janji-janji itu
menjadi sampah dan dia lupa

Dia hancurkan riwayat indah
yang kami cipta dengan cinta yang dikarang
tuntas, semua terpadam
dalam drama cinta curang. . .

by:- Kum.1 Seni Lakon UUM



Cita- Citaku Sekarang Bukan Yang Dulu. . .

Sewaktu kecil, saya ingin menjadi seorang pereka cipta alatan canggih untuk kegunaan seharian. Pelbagai alatan yang telah saya mereka cipta semula bentuk dan kegunaannya. Namun begitu, minat itu tidak kekal lama. Setelah saya menemui minat yang baru, saya dapati hidup saya lebih bermakna berbanding dulu. Minat yang baru tersebut adalah berkenaan hal belakang tabir industri seni. 


Kini, saya merupakan penuntut Universiti Utara Malaysia dalam bidang komunikasi. Saya bersyukur kerana jalan untuk mencapai cita-cita baru saya yang ditanam dari kecil itu kelihatan akan jalannya. Pada semester keempat, saya akan memilih bidang pengkhususan yang telah disediakan oleh pihak universiti. Oleh kerana saya amat meminati bidang seni kreatif, saya akan memilih bidang pengkhususan pengurusan seni kreatif. Dengan ini, saya dapat mengatur jalan yang lurus kearah kerjaya yang saya ingini. Saya ingin berkecimpung dalam industri seni kreatif tanah air. 

Industri kreatif yang saya minati termasuklah hal ehwal belakang tabir penyiaran televisyen dan juga radio. Minat dalam kerjaya tersebut  mula berputik di hati semenjak kecil lagi. Menguruskan sesuatu program televisyen adalah suatu impian yang paling dalam. Impian ini turut menjadi pemangkin untuk saya belajar dengan lebih gigih bagi memastikan saya menamatkan pelajaran saya dengan jayanya.








Tuesday, 5 November 2013

Klinik Untuk Semua

Pelbagai kemudahan telah disediakan oleh kerajaan bagi memudahkan masyarakat menjalankan aktiviti seharian. Ini termasuklah Klinik 1Malaysia yang telah dibangunkan hampir kesemua kawasan termasuklah kawasan-kawasan yang terpencil. Klinik 1Malaysia dibina adalah bertujuan supaya kesihatan masyarakat terutamanya bagi golongan yang kurang berkemampuan terjaga. Hal ini kerana masyarakat golongan kurang berkemampuan tidak mampu untuk membiaya rawatan di klinik-klinik swasta yang ada. 

Selain itu, klinik desa juga kurang dibangunkan di kawasan-kawasan terpencil. Maka, penduduk di kawasan tersebut terpaksa menggunakan perkhidmatan awam ataupun pengangkutan sendiri di mana ianya memakan belanja yang banyak untuk ke klinik desa. Walaupun klinik 1Malaysia mengenakan kos yang murah, namun layanan yang diberi amat memuaskan. Sejajar dengan peningkatan mutu perkhidmatan, kerajaan merancang untuk menambahbaikkan dengan melanjutkan waktu perkhidmatan 24 jam berbanding sekarang yang hanya dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam. 

Selain itu, klinik 1Malaysia juga menempatkan pegawai-pegawai kesihatan yang terlatih dalam bidang perubatan. Klinik 1Malaysia ini sentiasa dipantau oleh Kementerian Kesihatan dengan melakukan lawatan ke klinik-klinik tersebut.

















Guru Dan Kredibiliti

Perubahan dalam bidang pendidikan berubah selari dengan arus permodenan negara. Setelah lama para guru selesa dengan sistem yang lama, kini kredibiliti mereka tercabar dek perubahan yang dilakukan di dalam Transformasi Pendidikan Negara. Kita tidak boleh mengatakan bahawa guru-guru di Malaysia adalah tidak berkemampuan, tetapi sebaliknya kita perlulah memberi mereka masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. 


Pada era ini, kerjaya seorang guru adalah salah satu kerjaya yang diklasifikasikan sebagai kerjaya yang mencabar. Segalanya perlu dilakukan oleh guru, bermula dari pemantauan pelajar, peningkatan prestasi sekolah sehinggalah kerja perkeranian. Transformasi yang dilakukan ini menyebabkan para guru terhimpit dengan adanya indeks petunjuk prestasi (KPI). Semua akan menunding jari ke arah guru sekiranya murid-murid tidak mendapat keputusan yang memberangsangkan, sedangkan hakikatnya, guru hanyalah dipertanggungjawabkan mendidik murid-murid secar formal di sekolah.


Hal ini berlaku kerana ibu bapa masa kini sukar mengakui kesalahan anak-anak mereka, sebaliknya sanggup menyalahkan guru-guru di sekolah. Pandangan saya secara peribadi, tiada pihak yang perlu dipersalahkan. Malah, ibu bapa dan guru-guru perlu berganding bahu bagi memastikan para pelajar berjaya sebagai insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.